Wednesday, 14 June 2017

Susah Nak Solat (Kisah Saya) dan Tips Cara Untuk Mula Solat Secara Berterusan

Assalamualaikum dan salam sejahtera wahai para pembaca blog saya. Moga-moga anda semua sihat sentiasa. Hari ini saya akan bercakap tentang cerita atau kisah saya berkaitan dengan agama dan moga-moga anda dapat mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku.

Susah Nak Solat?

Saya pun pernah merasakan perasaan yang tidak berapa enak sebegini, terutamanya ketika saya masih di sekolah rendah dan memengah.

Sedang saya meningkat dewasa, saya mula terfikir, mengapakah saya tidak solat pada waktu itu, sedang kan dalam sehari ada 24 jam atau 1440 minit, 7 hari seminggu. Mengapakah saya tidak dapat meluangkan sedikit masa dalam anggaran 5 hingga 15 minit, 5 kali sehari untuk menjalankan ibadah solat, walhal saya sihat tubuh badan dan dikurniakan dengan akal yang waras?
http://www.theclockdepot.com/images/D/Howard-Miller-625-358-Luis-Wall-Clock-HR.jpg
Waktu itu tidak pernah mengundur ke belakang, waktu yang telah dibazirkan tidak akan dapat diganti.

Adakah saya malas?

Adakah saya menganggap solat itu penting?

Adakah saya angkuh dengan kuasa Allah SWT kerana saya masih sihat dan baik walaupun telah mengingkari suruhanNya?

Adakah saya putus asa dengan nikmat Allah SWT?

Sedikit latar belakang agama saya akan saya terangkan ialah...


Saya seorang yang dibesarkan dengan latar belakang agama yang elok. Saya dididik, diasuh untuk solat dari kecil, diajar semua bacaan dalam solat di rumah dan di sekolah. Dan tinggal di bandar kecil di dalam Dungun, Terengganu. Rumah saya dan rumah arwah nenek saya (ibu bapa saya sibuk bekerja jadi saya juga dijaga oleh nenek saya yang juga mengajar saya mengaji) amatlah dekat dengan surau. Saya juga tiada masalah untuk membaca dan mengaji al-Quran. Saya juga bukanlah seorang yang suka untuk bersosial dan melepak tanpa arah dan dikelilingi rakan-rakan yang mempunyai peribadi yang mulia.

Namun, mengapakah perasaan untuk tidak solat itu melekat dengan kuatnya di dalam hati saya?

Malas, angkuh dengan nikmat yang diberi, menganggap solat itu tidak penting, dan putus asa dengan nikmat Allah SWT, semua emosi itu bercampur dan akhirnya, setelah segala asuhan dan didikan untuk solat, bertahun saya tidak solat. Dan lebih teruk lagi, apabila ditanya oleh ibu bapa saya, saya berpura-pura mengatakan bahawa saya solat. Hinanya perbuatan saya.



Subuh dilepaskan dengan tidur yang berterusan jika pada hari cuti. Hari sekolah pula dihabiskan dengan bersiap.

Zohor dihabiskan dengan makan dan minum dan menonton televisyen.

Asar pula sama ada dihabiskan dengan masih menonton televisyen, membaca komik, pergi bermain, makan dan minum petang, dan yang paling teruk, tidur.

Maghrib pula dilepaskan dengan sengaja kerana malas, tetapi solat hanya sesekali apabila rasa ingin solat kerana Maghrib itu sedikit sahaja rakaatnya.

Isya'? Dihabiskan dengan tidur.


SOLAT FARDHU 5 WAKTU
Anak yang derhaka....

Anak yang menipu....

Hamba yang mengingkari perintah dan seruan oleh Sang Maha Pencipta...

Namun, saya masih dikurniakan dengan akal yang baik, tubuh badan yang sihat, keluarga yang tidak susah, malahan agak mewah jika dibandingkan dengan sesetengah kawan yang saya ada kerana kedua-dua ibu bapa saya bekerja.

Mungkinkah ia ujian Allah SWT dalam bentuk Istidraj? Wallahualam.

Istidraj - Pemberian nikmat Allah SWT kepada manusia di mana pemberian itu tidak diredhaiNya.

"Rasulullah SAW bersabda : "Apabila kamu melihat Allah SWT memberikan nikmat kepaa hambaNya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT " (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Baihaqi)" -Sumber Blog Peribadi Rasulullah SAW
Ia sesuatu yang teruk kerana saya ada ilmu agama tersebut, namun saya tidak beramal dengan ilmu yang telah dikurniakan.

Namun, jika datangnya sinar hidayah, pasti setiap manusia yang tersentuh dengan kesucian itu akan cuba berubah walaupun sekecil mana sekalipon langkah kecil yang akan dimulakan.

MULA BERUBAH

Saya mula berubah untuk solat dengan lebih baik semasa saya berada di dalam Tingkatan 5. Ya. Tingkatan 5, setelah bertahun tidak solat dengan betul. Ini kerana ujian Sijil Pelajaran Malaysia yang saya bakal hadapi dan kerana saya berkawan dengan seorang kawan yang menemani saya untuk menjalankan solat hajat. 

Namun, harus saya ingatkan, solat saya pada waktu itu, hanyalah pada waktu Zohor kerana di sekolah ada program solat berjemaah di Surau Sekolah dan kami wajib pergi dan program solat sunat hajat pada hari Khamis.

"Memohon hajat di dalam solat sunat hajat, dan hanya solat Zohor, kau fikir Allah SWT akan mendengar hajat kau tu?"

Itulah yang terdetik dalam hati dan akal fikiran yang telah dikurniakan oleh Tuhan yang menyebabkan saya untuk berubah.

Saya mengaji, membaca surah Yasin setiap hari, namun solat saya, tidak sempurna. Apakah Allah SWT mahu mendengar hajat saya?

Saya cuba dengan solat dengan solat fardhu yang sedikit dulu rakaatnya seperti Subuh dan Maghrib. Ia mudah kerana saya seorang yang akan bangun awal sebelum Subuh, dan waktu maghrib. Ia tidak susah bagi waktu Subuh dan Maghrib, namun untuk solat 4 rakaat seperti Zohor, Asar dan terutama sekalinya waktu Isya', ia sedikit mencabar.

Namun saya tetap meneruskan usaha saya dengan solat sekurang-kurangnya Zohor, atau Asar dahulu. Malas telah melekat dengan mendalam, disertai dengan bisikan Syaitan yang dilaknat, saya berjuang dengan diri sendiri untuk solat. Ia kedengaran seperti sesuatu yang kecil, namun bagi saya ia satu lonjakan yang besar.

Tidak lama setelah saya solat Zohor dan Asar dengan biasa, saya merasakan bahawa saya lebih kuat dan yakin untuk solat Isya'. Dan ia berterusan. 

Saya rasa amat tenang setelah mampu untuk solat secara berterusan walaupun ia adalah solat fardhu sahaja.

Saya tidak merasa sempit seperti waktu sebelum itu. Tidak rasa bersalah untuk menunaikan solat hajat untuk memohon pertolongan Tuhan. Namun satu yang harus kongsikan bersama para pembaca ialah, penyesalan kerana menjadi begitu bodoh kerana meninggalkan solat dengan sengaja itu akan melekat di dalam diri.

Saya tidak bersosial dengan banyak, malahan ramai yang menganggap saya seorang alim dari pakaian yang saya pakai (saya bukan yang memakai tudung labuh, cuma tudung saya sopan dan saya suka memakai pakaian longgar), namun saya tidak solat pada waktu itu. Seolah-olah saya tergolong dalam golongan munafik. Ini kerana tiada siapa yang tahu perangai terkutuk saya yang dengan tidak solat itu dahulu.

Dan kita sebagai Muslim harus tahu bahawa golongan Munafik sangat-sangatlah dimurkai Allah SWT.

Api neraka yang berkali ganda lebih panas dari api dunia... adakah kita mahu dibakarnya? (Gambar sekadar hiasan)

Di bawah saya akan senaraikan cara-cara yang anda boleh cuba untuk mula solat dengan berterusan, berdasarkan pengalaman saya sendiri, maaf jika cara saya ini tidak begitu mengikut yang seharusnya, tapi saya cuma ingin membantu para pembaca yang mempunyai masalah yang sama..

CARA-CARA UNTUK CUBA SOLAT PENUH SOLAT FARDHU
  • Pastikan anda suci dari hadas kecil dan besar.
  • Mandi wajib dengan mengikut syarat setelah hadas besar dengan sempurna.
  • Berkawan dengan mereka yang boleh menerima kekurangan anda. Jika anda takut mereka cuba untuk menilai anda kerana kelemahan anda, rahsiakan dulu kelemahan anda dan cuba sertai mereka untuk ke surau atau masjid untuk bersolat.
  • Cari sebab untuk solat. Seperti jika anda bakal menghadapi peperiksaan, atau ingin memohon rezeki yang baik-baik, kesenangan hidup dan sebagainya. Fikir sentiasa bahawa rezeki itu di tangan Allah SWT. Sebagai hamba, seharusnya anda mengikut arahan Tuhan sebelum meminta sebarang hajat supaya diredhai.
  • Mulakan langkah secara perlahan. Jika anda rasa sedikit mencabar untuk terus solat fardhu 5 waktu sekaligus, mulakan dengan solat-solat yang pendek rakaatnya, seperti Maghrib, atau Subuh. Seterusnya dengan solat-solat fardhu lain.
  • Setelah mampu untuk solat fardhu dengan lengkap, cuba tunaikan solat sunat, seperti solat sunat Hajat, Dhuha dan sebagainya yang termampu.
Saya kadang-kadang masih terduga untuk tidak solat fardhu. Terutamanya sekali solat fardhu Isya', jika saya tertidur, saya akan cuba bangun sebelum Subuh dan cuba menunaikan solat Isya'. Namun jika saya terlepas, saya akan biasakan diri untuk qada' solat tersebut.

Saya harap 'post' ini dapat membantu para pembaca blog ini yang mempunyai masalah yang sama.

Sekian dari saya buat kali ini. Sekian dan wassalam.

Yang benar,


TheMalayGadis


No comments:

Post a Comment

Review : SKINCARE Shiseido Senka Series - Perfect Gel MakeUp Remover -

Assalamualaikum dan salam sejahtera warga pembaca. Hari ini saya akan membuat review Shiseido Siri Senka - Perfect Gel Makeup Remover -...